Reyhana pulang beraya di Labuan sebab nak ziarah pusara arwah mama dan arwah bapa

A
A

MEMPUNYAI adik-beradik yang ramai tentu menyeronokkan lebih-lebih lagi pada sambutan hari raya. Tentu meriah apabila seisi keluarga berkumpul pada hari bahagia itu.

Bagi penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi Bintang RTM 2007 dan One In a Million 2009, Reyhana Yunus mempunyai 11 orang adik beradik. Namun dia hanya akan pulang beraya dengan keluarganya pada hari raya kedua.

“Kalau fasal giliran menyambut hari raya sama ada di kampung suami, Muhammad Azrul Azmi atau saya, kami tak ada istilah macam itu. Setiap tahun wajib untuk saya pulang beraya di kampung di Labuan sebab nak menziarahi pusara arwah mama dan arwah bapa.

“Tapi saya akan pulang beraya pada hari kedua raya selepas menyambut raya pertama di kampung suami di Kuala Lumpur dulu.

“Paling menyeronokkan di hari raya ini ialah kami 11 beradik akan berkumpul bersama-sama bagi meraikan hari berbahagia itu,” ujarnya yang akan bercuti selama seminggu sahaja kerana selepas itu akan mula sibuk dengan persembahan pentas.

Penyanyi, Reyhana
Penyanyi, Reyhana

Mengenai sambutan hari raya, Reyhana, 32, lebih mengutamakan baju raya, aktiviti mengemas rumah dan makanan kering seperti keropok yang hendak dihidangkan kepada tetamu.

“Persiapan tahun ini saya awalkan sebab sibuk dengan bisnes menjual makanan kering di bazar raya. Selain itu selama sebulan saya menyanyi di Riverside PWTC.

“Dalam persiapan raya, saya pentingkan rumah kemas, bersih, penyediaan kuih raya dan baju raya kami sekeluarga. Mujur suami dan anak tak cerewet. Mereka berdua amalkan konsep asalkan ada,” katanya.

Untuk rekod, Reyhana dan suami selamat diijabkabulkan pada 6 Januari 2015 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. Reyhana atau lebih mesra dengan panggilan Han ketika ditemui di Starvendors Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, turut berkongsi rutinnya ketika meraikan Aidilfitri.

“Bila dah balik kampung dan berkumpul dengan adik-beradik, sambil-sambil berbual fasal kehidupan masing-masing, kami akan duduk berkumpul di ruang tamu besar untuk membuat makanan tradisi yang dikenali sebagai lamban.

“Lamban ini macam buat ketupat cuma bentuknya lain tak macam ketupat empat segi. Lamban ini bentuknya panjang macam lepat pisang,” katanya.