Foto Permaisuri kesayangan rakyat pamer sikap terpuji

- Foto Don Mahathir
- Foto Don Mahathir
A
A
A

KUANTAN - Detik romantis dan kasih sayang pasangan diraja tular di Facebook apabila seorang jurugambar memuat naik gambar Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melayani suaminya, Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah, ketika bersantap.

Gambar itu dirakamkan, Mahathir Ali pada majlis Hari Raya di Istana Abdul Aziz yang berlangsung pada 2 Syawal lalu.

Mana tidaknya, posting Facebook itu kini mendapat lebih 4,000 tanda suka dan 1,600 perkongsian dengan dihujani pelbagai pujian dan rasa terharu rakyat terhadap pasangan diraja itu.

Mahathir yang juga pegawai media kepada Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, berkata, gambar-gambar itu memperlihatkan satu sisi yang jarang ditunjukkan kepada umum mengenai sikap Raja Permaisuri Agong ketika melayani suaminya.

"Di dewan, saya jadi terpegun melihat Raja Permaisuri Agong melayani Sultan Abdullah. Bukan mudah mendapat rakaman seperti ini kerana ramai tidak mengetahui sisi di sebalik kehidupan di istana.

- Foto Don Mahathir
- Foto Don Mahathir

"Saya mengeluarkan kamera dan merakam gambar Permaisuri Agong dari mengambil hidangan buffet sehinggalah kepada baginda menghidangkannya kepada Seri Paduka.

"Tunku Azizah melayani Seri Paduka dengan penuh kasih sayang dan ketika itu Sultan Abdullah kelihatan keletihan selepas bertemu rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mahathir, awalnya dia berada di luar Istana Abdul Aziz kerana baru selesai merakamkan detik Al Sultan Abdullah beraya bersama rakyat.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang menyuruh saya masuk ke istana tanpa menyatakan sebab yang jelas.

"Naluri seorang jurugambar, saya dapat merasakan panggilan telefon oleh ADUN Bebar itu menyampaikan bahawa ada sesuatu yang menarik, perlu dirakamkan.

"Beberapa kali saya mendapat panggilan daripada Datuk Mohammad Fakruddin. Saya mahu masuk ke Dewan Makan istana tetapi gagal lalu Setiausaha Sulit Tengku Ampuan Pahang, Zamzurina Ahmad mengiringi saya ke dewan berkenaan.

- Foto Don Mahathir
- Foto Don Mahathir

"Ini kenangan indah dalam hidup saya dan takkan lupa buat selama-lamanya.

Beliau menambah, selesai santapan, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengukir senyuman ketika dia merakam gambar baginda berdua.

Detik bersejarah itu kemudian dimuat naik oleh Mahathir dalam akaun Facebook miliknya dan tidak menyangka menjadi tular dengan pantas.

Bagi rakyat Pahang, keluarga Diraja kesayangan rakyat ini sememangnya terkenal dengan sikap mesra dan penyayang tanpa mempedulikan status dan darjatnya sebagai Tengku Ampuan Pahang dan kini Raja Permaisuri Agong.

Pada waktu waktu bencana, figura inilah yang akan menyinsing lengan, menghiris bawang dan menggodek kuali serta sudip, untuk memasakkan hidangan paling enak buat hidangan rakyatnya, di mana-mana pusat pemindahan banjir.

Kasih sayang baginda berdua cukup untuk menyapu air mata dan menyejukkan hati rakyat yang dilanda musibah.

- Foto Don Mahathir
- Foto Don Mahathir

Beberapa gambar sambutan Aidilfitri yang memaparkan Tunku Azizah menyediakan santapan buat Al-Sultan Abdullah itulah, membuktikan segala galanya.

Sesungguhnya kini, Tuanku berdua adalah sumber inspirasi bagi rakyat Malaysia yang kini menjadi ikutan dalam ukhwah dan perpaduan.