Selesai rakam keterangan penyanyi simpan beruang matahari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keterangan seorang penyanyi rock wanita yang menyimpan seekor beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini, selesai dirakamkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terdahulu wanita berusia 20-an itu ditahan Sabtu lalu selepas kehadiran beruang itu disedari jiran tetangga yang melihat haiwan itu menjengah di salah satu tingkap kediaman wanita tersebut.

Beliau berkata, wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pihaknya dan kesemua keterangan yang diperlukan bagi membantu siasatan juga selesai diambil pagi tadi.

"Kesemua maklumat dan keterangan yang diperoleh akan diserahkan kepada bahagian penasihat undang-undang jabatan untuk tindakan selanjutnya.

"Mereka akan tentukan sama ada kes itu perlu pendakwaan atau tidak...Jika ada pendakwaan, mereka akan lihat peruntukan seksyen mana yang bersesuaian untuk siasatan dibuat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Penasihat Undang-Undang Perhilitan untuk membuat keputusan berhubung kes.

"Kita tak mahu langkau sesiapa kerana siasatan sedang berjalan dan semuanya harus mengikut prosedur...Kita tunggu keputusan dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung keadaan terkini beruang matahari berkenaan, Abdul Kadir berkata, setakat ini, haiwan itu dilaporkan sihat dan berada dalam keadaan baik di bawah jagaan pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, video berdurasi lima saat yang memaparkan seekor beruang cuba keluar dari tingkap kondominium wanita berkenaan tular di media sosial.

Kehadiran haiwan itu liar itu disedari jiran di unit berkenaan yang terdengar bunyi bising oleh beruang yang dipercayai sedang kelaparan kerana ditinggalkan sejak dua hari sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita ditahan pelihara beruang secara haram