Insiden bom lempar: Polis rakam keterangan individu di lokasi

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan merakam keterangan semua individu yang berada di lokasi insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, di Gemas pada Ahad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, soal siasat itu bagi melengkapkan siasatan dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Siasatan dari polis membabitkan kes mati mengejut, namun kita difahamkan pihak TUDM juga menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Kita akan rakam kenyataan semua (individu) yang berada di lokasi kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini pada Isnin.

Sebelum ini, TUDM dalam kenyataan memaklumkan akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan berhubung kejadian bom lempar tersebut serta menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

Dalam insiden berkenaan, dua maut melibatkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22, manakala jurulatih Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.

Sementara itu, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, yang parah kini masih dalam pemantauan rapi di Hospital Segamat serta dilaporkan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas

Seorang lagi anggota maut, TUDM akan tubuhkan Lembaga Siasatan

Insiden bom lempar: Suasana pilu selubungi pengebumian jenazah jurulatih TUDM

Jenazah Mohd Iqmal selamat dikebumikan

Insiden bom lempar: Pakar bahan letupan antara panel penyiasat