[DIKEMASKINI] Sah orang asli Bateq maut akibat pneumonia

Waytha Moorthy menunjukkan statistik pesakit yang menerima rawatan di tiga hospital di Kelantan.
Waytha Moorthy menunjukkan statistik pesakit yang menerima rawatan di tiga hospital di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMASKINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan dua daripada14 kematian akibat radang paru-paru atau pneumonia membabitkan orang asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Senator Waytha Moorthy berkata, kematian dipercayai bermula 2 Mei lalu hingga 7 Jun lalu, membabitkan masyarakat orang asli yang tinggal dalam hutan berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan dan Pahang.

Bagaimanapun beliau berkata, punca kematian bagi 12 mangsa yang lain tidak dapat dikenal pasti kerana mayat sudah disemadikan di Kuala Koh mengikut adat suku kaum di sana.

"Sebelum ini pengesahan kematian tidak dapat dibuat kerana tiada komunikasi antara tok batin orang asli suku Bateq dengan pihak berkuasa.

“Bukti kematian sukar diperoleh kerana berlaku kerana mereka berada dalam hutan dan terputus dunia luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat bersama Pengarah dan Kakitangan Jabatan Kesihatan di Pejabat Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini.

Hadir sama Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Artikel Berkaitan:

Waytha Moorthy (tengah) berbincang dengan Husam (kiri) dan Dr Zaini (kanan) selepas Taklimat bersama Pengarah dan Kakitangan Jabatan Kesihatan di Pejabat Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini.
Waytha Moorthy (tengah) berbincang dengan Husam (kiri) dan Dr Zaini (kanan) selepas Taklimat bersama Pengarah dan Kakitangan Jabatan Kesihatan di Pejabat Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini.

Terkini Waytha Moorthy berkata, seramai 83 daripada 186 orang asli di perkampungan itu menunjukkan tanda-tanda jangkitan termasuk dua daripadanya iaitu wanita berusia 36 tahun dan kanak-kanak tiga tahun, dilaporkan kritikal.

Menurutnya, wanita itu dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK) manakala kanak-kanak terbabit di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

"Seramai 37 penduduk lain menerima rawatan pesakit luar manakala 32 pesakit lagi dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), 9 di HKK dan tiga pesakit di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (Rika) Gua Musang.

“Kita belum menerima laporan lengkap berhubung jenis bakteria atau virus yang menyerang penduduk di sini. Jika ia membabitkan virus, keputusan akan diumumkan esok namun Jabatan Kesihatan negeri memerlukan masa seminggu jika ia membabitkan bakteria,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Misteri kematian orang asli di Gua Musang

Polis nafi dua penduduk Orang Asli mati kerana sakit misteri

Orang asli Bateq sedia berpindah