Nasi daging pasti kena cuba!

Nasi Daging (Kanan: Cendol lemang antara yang menjadi pilihan orang ramai.)
Nasi Daging (Kanan: Cendol lemang antara yang menjadi pilihan orang ramai.)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mementingkan kualiti dengan tidak membiarkan makanan lebih empat jam, antara rahsia Azizan Md Isa, 54, dalam penyediaan nasi daging istimewa kepada pelanggan.

Menurutnya, itu adalah salah satu saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam penyediaan makanan bagi mengelakkan ia rosak atau tidak selamat dimakan.

"Apa yang dimaklumkan, makanan tidak boleh disimpan lebih dari empat jam, bila habis baru masak, jadi hidangan itu sentiasa baru.

"Kalau tak habis jualan, kami akan beri atau sedekah kepada orang lain. Kami tak akan simpan untuk jual esok hari, itu antara usaha untuk bagi pelanggan puas hati,"jelasnya.

Selain itu, bahan masakan dipilih dari kualiti yang tinggi bagi mengekalkan keenakan selain daging rebus yang lembut menjadi pujaan ramai.

DAGING SECEKAK

Terkenal dengan nama Gerai Hj Zan Nasi Daging di Padang Temusu, Azizan menawarkan hidangan tersebut dengan harga berpatutan, iaitu RM6 sepinggan bersama air asam dan daging rebus.

"Orang kata kami letak daging secekak (segengam), puas hati kalau makan, disesuaikan dengan citarasa utara menggunakan resepi tradisional turun-temurun dari orang tua menambah rasa sebenar pada nasi daging," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap hidangan disediakan dengan penuh teliti bagi mengekalkan kualiti, dengan harapan mampu memberi kepuasan kepada pelanggan yang menikmati hidangan mereka.

Azizan di hadapan Gerai Hj Zan Nasi Daging.
Azizan di hadapan Gerai Hj Zan Nasi Daging.

RUGI SETIAP HARI

Menceritakan pengalaman memulakan perniagaan nasi daging dua tahun lalu, Azizan berkata, dia menanggung kerugian setiap hari apabila makanan dimasak tidak habis dijual dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Dalam tempoh tiga bulan juga kami bekerja keras sebab hari-hari jualan tak habis.

"Tetapi kami tetap teruskan juga, tak berputus asa walaupun menanggung kerugian dari hari pertama sampailah tiga bulan.

"Berkat kesabaran, lama-kelamaan pelanggan mulai bertambah dari sehari ke sehari, sehingga hari ini, Alhamdulillah," katanya.

Lokasinya di jalan utama, Jalan Butterworth-Sungai Petani memudahkan pelanggan untuk singgah.
Lokasinya di jalan utama, Jalan Butterworth-Sungai Petani memudahkan pelanggan untuk singgah.

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, bermula jam 10.30 pagi sehingga 7 petang, pihaknya juga menerima tempahan katering bagi yang menyediakan jamuan secara kecil-kecilan.

Lokasinya di jalan utama, Jalan Butterworth-Sungai Petani, berhadapan Taman Seri Pinang memudahkan orang ramai untuk singgah.

Selain nasi daging yang menjadi kegilaan ramai, gerai tersebut juga menyediakan hidangan nasi ayam, nasi tomato, laksa, bihun kuah laksa, moi sup, bihun sup, mee sup dan kuey teow sup.

Cendol yang disediakan menepati selera orang utara dengan pelbagai ramuan di samping penggunaan santan berkualiti tinggi bertujuan mengekalkan rasa keaslian cendol.

"Bagi yang tak mau cendol pulut tetapi nak rasa cendol lemang, kita boleh sesuaikan kerana gerai ni bersebelahan dengan gerai Lemang Pak Teh yang dibuka sepanjang tahun," katanya.

Bagi semangkuk cendol dijual dengan harga RM3 manakala cendol pulut dijual dengan harga RM3.50 semangkuk.