Dua maut kereta terbabas langgar tiang konkrit

Dua mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Kenari dinaiki terbabas merempuh tiang konkrit di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam.
Dua mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Kenari dinaiki terbabas merempuh tiang konkrit di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita bersama seorang remaja perempuan maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas melanggar tiang konkrit di Jalan Mahameru, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, pemandu, Ng Kui Chin, 41, dan Ng Je Min, 18, maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi penumpang parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dua mangsa yang parah kini berada di zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan di kepala.

"Siasatan awal mengesyaki kemalangan berlaku apabila pemandu terbabit yang memandu kereta jenis Perodua Kenari dengan laju dari arah Jalan Tun Razak menghala ke pusat bandar.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa yang ketika itu berada di lorong kanan jalan hilang kawalan lalu merempuh tiang kongkrit di sebelah kiri jalan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit di tempat duduk dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan maut di tempat kejadian.

Katanya, bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membawa mangsa yang tersepit ini keluar.

"Manakala, dua penumpang belakang dilaporkan mengalami kecederaan parah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.