Rashidi Ishak sambut raya sebagai solo

Rashidi Ishak - FOTO INSTAGRAM
Rashidi Ishak - FOTO INSTAGRAM
A
A
A

AKTOR, Rashidi Ishak mengakui tahun pertama menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa kehadiran wanita bergelar isteri di sisi dirasai agak berbeza.

Bagaimanapun, lelaki 46 tahun ini tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana merasakan pernah melalui tempoh sama sebelum bergelar suami hampir 18 tahun lalu.

Ujar Rashidi atau mesra disapa dengan panggilan Shidee, dia tetap membuat persiapan ringkas dan meraikan Aidilfitri bersama dua anaknya iaitu Mikhail Imran, 17, dan Maryam Rashika, 15.

“Bagi saya yang berbeza, dulu ada isteri sekarang tak ada. Tapi rutin saya sebagai seorang bapa tetap sama.

“Begitu juga dengan persiapan, saya ada membuat persiapan untuk anak tapi untuk diri sendiri pakai baju lama pun tak apa.

“Cuma tidaklah lagi berbaju warna sedondon. Kalau kami pakai sedondon nanti apa pula orang kata.

“Pun begitu, saya akan tetap meraikan hari raya bersama anak-anak. Lagi pun Vee (Vanidah) juga tinggal di Kuala Lumpur dan ibu bapa saya juga akan datang ke sini. Jadi tidak menjadi masalah buat saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Rashidi, buat masa ini dia selesa melalui rutin sebegini dan tidak mahu terburu-buru mencari pengganti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dalam masa sama dia juga terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Bila saya muat naik gambar dengan wanita lain, cepat sahaja netizen menimbulkan spekulasi.

“Ada yang sampai tulis ‘oh rupanya ini punca saya bercerai’. Saya memang terkedu baca komen sebegitu.

“Takkanlah keluar minum kopi, berbual-bual menandakan saya bercinta. Saya juga perlukan teman untuk berbual.

“Tapi tidak semudah itu saya mahu melalui kembali fasa itu (bercinta dan berkahwin) selepas melalui episod gelap setelah 18 tahun berkahwin,” jelasnya.

Berhenti berharap

Sementara itu, Rashidi juga meminta peminat untuk move on dan berhenti berharap untuk melihat mereka kembali bersatu sebagai suami isteri.

Malah tambah pelakon filem Bu ini, masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri dan mahu netizen menghormati keputusan yang telah dibuat hampir setahun lalu.

“Dari awal lagi saya dah kata tiada harapan cuma saya tak mahulah tegaskan kerana saya tak tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan. Semua itu ALLAH SWT yang tentukan.

“Kadang kala ada yang tag Vee di Instagram saya dan begitu juga di Instagram Vee. Bagi saya, cukup-cukuplah.

“Setakat ini, tiada harapan. Saya sendiri dah berhenti berharap sejak saya melafazkan talak.

“Kami dah lalui semua proses dan buat keputusan itu bersama,” akuinya yang merasa rimas pada mulanya apabila peminat dan pengikut media sosial mengharapkan mereka kembali bersama.

Ditanya mengenai hubungan mereka setakat ini, Rashidi berkata, dia ada berhubungan dengan Vanidah namun hanya kerana urusan anak.

Tetapi andai ada pihak yang mahu menggandingkan mereka dalam mana-mana naskhah selepas ini, dia tidak mempunyai masalah untuk menerima. “Saya profesional dan saya percaya dia (Vanidah) juga sama. Jadi saya tak ada masalah kalau ada yang nak menggandingkan kami,” jelasnya.