Bermalam sambil nikmati raja buah di dusun durian

Ahmad Amzad (tengah) turut memenuhi undangan untuk menikmati raja buah di dusun Mohd Tamizi.
A
A

MARANG - Ribuan pohon durian ditanam di DUN Pengkalan Berangan menjadikan kawasan itu sebagai pusat pengeluar durian utama di daerah ini dan destinasi pelancongan unik untuk dikunjungi.

Malah lebih istimewa pelbagai aktiviti ditawarkan kepada pengunjung termasuk bermalam di dusun durian bagi merasai kehidupan di dusun durian sambil mengutip dan menikmati raja buah itu.

Salah seorang pengusaha terbabit, Mohd Tamizi Mamat, 31, berkata, usaha itu dapat memberi pulangan tambahan kepada pengusaha dan merancakkan perkembangan ekonomi setempat.

"Ramai pengusaha kebun durian di DUN Pengkalan dan apabila tiba musim durian, pengunjung luar datang bukan sahaja makan durian tetapi bercuti bersama keluarga di sini," katanya.

Mohd Tamizi menawarkan pakej bermalam di dusun duriannya bermula pertengahan Julai.
Mohd Tamizi menawarkan pakej bermalam di dusun duriannya bermula pertengahan Julai.

Dusun durian milik keluarga Mohd Tamizi seluas kira-kira 0.6 hektar kini menjadi pakej pelancongan apabila dia menawarkan pakej bermalam di kebun durian sambil menikmati raja buah itu.

Ia memberi pengalaman berbeza kepada penggemar durian merasai pengalaman bermalam di kebun durian sambil mengutip buah luruh serta menikmatinya dalam kebun durian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Tamizi berkata, pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM200 bermula 10 malam sehingga pagi manakala setiap satu kilogram buah durian dicaj RM10.

"Kita tidak menghadkan jumlah pengunjung tetapi setiap kumpulan perlu membuat tempahan terlebih dahulu dan pakej bermalam di dusun ini akan bermula pada pertengahan Julai ini," katanya.

Tahun lalu, pemilik dusun raja buah di Kampung Jerung Surau itu berkongsi rezeki tanamannya dengan menyediakan lebih 100 biji buah durian dan raja buah itu dihidangkan secara percuma.

Tahun lalu juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim turut memenuhi undangan untuk bersama Pemuda Pas Dun Pengkalan Berangan menikmati raja buah di dusunnya.

Menurut Mohd Tamizi, program makan durian percuma tahun lalu itu untuk memberi peluang kepada rakan-rakannya menikmati raja buah memandangkan harga pasarannya agak tinggi ketika itu.