Kanak-kanak empat tahun lemas jatuh sungai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BEAUFORT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Tempurung, Kuala Penyu, di sini semalam.

Ketua Polis Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, semasa kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Muhammad Fazril Abdullah dikatakan mengikuti ibunya beraya di rumah rakan di kampung berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika berada di rumah itu ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya itu sebelum meminta bantuan rakan mencari.

“Selepas 20 minit mencari mangsa, salah seorang ahli keluarga rakannya memaklumkan menemui mangsa di sungai di belakang rumah mereka.

Katanya, mangsa kemudiannya diselamatkan dan diberikan bantuan kecemasan namun masih tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Kuala Penyu.

“Ketika mendapatkan rawatan, pegawai perubatan memberitahu mangsa masih tidak sedarkan diri tetapi nadinya masih berdenyut dan usaha menyelamatkannya diteruskan.

"Namun pada 5.45 petang, pegawai perubatan memaklumkan mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke unit forensik Hospital Kuala Penyu untuk bedah siasat dan siasatan mengenai kejadian berkenaan masih dijalankan serta kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.- Bernama

Artikel Berkaitan: