Belum ada laporan papan iklan gambar PM disimbah cat merah: Polis

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Polis Jempol masih belum menerima sebarang laporan mengenai sebuah papan iklan yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disimbah cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan kejadian tersebut berlaku di sebuah selekoh di Felda Palong Tujuh dan Lapan dekat sini.

“Saya ada menerima maklumat berkenaan daripada anggota mengenai isu berkenaan namun masih belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan," katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media (Harian Metro) melaporkan berkenaan insiden ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota PKR.

Ketua Cabang PKR Jempol Karip Mohd Salleh berkata papan iklan yang turut menyalurkan maklumat mengenai pembaharuan hala tuju Felda itu disedari pihaknya ketika melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Karip yang juga Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan dipetik sebagai berkata satu laporan polis akan dibuat berhubung isu berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: