'Kami rindukan Pak Tam'

 Omar bersama Hadiah berharap dapat bertemu Pak Tam yang sudah 12 tahun dipenjara di Taiwan.
Omar bersama Hadiah berharap dapat bertemu Pak Tam yang sudah 12 tahun dipenjara di Taiwan.
A
A
A

PONTIAN – Bapa kepada Sheikh Faizan, 31, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Taiwan merayu bantuan Wisma Putra khususnya kedutaan Malaysia di negara berkenaan bagi membolehkan dia menghubungi anaknya.

Omar Yuhyi, 63, berkata, panggilan telefon sempena Hari Raya Aidilfitri itu cukup penting kerana sudah 12 tahun Sheikh Faizan atau lebih mesra disapa Pak Tam ditahan di penjara Taiwan kerana didakwa menyeludup dadah ke negara terbabit.

“Ibunya, Hadiah Gondet, 57, sering menangis setiap kali teringat Pak Tam. Gambar Pak Tam sentiasa berada di sisi memandangkan dia (Hadiah) tidak boleh bergerak kerana mengalami sakit saraf selain kencing manis dan darah tinggi.

“Saya sangat berharap dapat bercakap lebih lama dengan Pak Tam. Saya dan isteri terlalu rindukan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Embun Pekan Nanas di sini baru-baru ini.

Anak kelima dari tujuh beradik itu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana menyeludup heroin seberat 2.141 gram ke Taiwan pada 2007 ketika berusia 19 tahun.

Pak Tam dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.

Omar yang juga pesara tentera berkata, dia ada menerima panggilan dari Pak Tam dua minggu sebelum Ramadan tahun ini.

"Tapi saya dan isteri tidak boleh bercakap lama kerana panggilan dibuat lebih kurang lima minit sahaja. Apa nak cakap kalau boleh telefon cuma lima minit?.

Artikel Berkaitan:

"Pak Tam tanya keadaan kesihatan kami dan minta saya dan isteri jaga kesihatan. Pak Tam cakap macam orang Cina ada pelat-pelat sikit,” katanya.

Gambar Pak Tam disusun rapi di atas rak rumah Omar di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas.
Gambar Pak Tam disusun rapi di atas rak rumah Omar di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas.

Menurutnya, dia dan isteri turut berhasrat untuk ke Taiwan bertemu dengan Pak Tam.

“Tapi macam mana saya dan isteri hendak ke sana jika wang yang ada hanya sekadar cukup untuk tampung kos perubatan isteri dan makan minum kami.

“Mujur anak perempuan kami, Norasyikin, berusia 38 tahun, bersama suami dan tiga orang anaknya tinggal bersama kami. Dapatlah bantu saya dan isteri,” katanya.

Ketika menziarahi Omar dan isterinya di rumah mereka, gambar-gambar Pak Tam masih tergantung di dinding dan diletakkan bingkai gambar di atas rak dengan semuanya tersusun dan dijaga rapi oleh Omar.

Omar berkata, gambar lama Pak Tam sebelum ditahan yang masih digantung di dinding dan diletakkan bingkai gambar di atas rak dengan semuanya tersusun dan dijaga rapi.

"Ada gambar yang sudah rosak tapi ia tetap dijaga sebagai kenangan. Saya tidak pernah nampak wajah dan sosok tubuh Pak Tam yang terkini kerana pihak penjara di sana tidak membenarkan penghantaran gambar walaupun swafoto untuk tatapan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Hadiah berkata, Pak Tam cukup gemar makan ayam masak kicap di pagi Hari Raya Aidilfitri dan setiap kali melihat hidangan itu dia akan menangis kerana teringatkan anaknya itu.

“Tiada lagi ketupat, sayur lodeh, lontong, rendang mahupun ayam masak kicap yang menjadi kegemaran Pak Tam selama dia berada di penjara sejak 2007,” katanya.

Hadiah berkata, Pak Tam ada memberitahu dia masih bekerja menjahit langsir dengan bayaran gaji sebanyak 50 sen sehari yang digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang dibenarkan pihak penjara di sana.

Menurutnya, jika sebelum ini ada beberapa orang Islam termasuk dari Malaysia yang juga ditahan di Taiwan namun mereka dibebaskan menyebabkan Pak Tam seorang diri di sana.

"Kami amat berharap Kerajaan Malaysia dapat membantu Pak Tam di Taiwan berdasarkan hubungan baik kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, pihaknya akan menghubungi Kementerian Luar Negeri bagi mengetahui perkembangan kes Pak Tam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, permintaan keluarga untuk bercakap lebih lama dengan Pak Tam melalui panggilan telefon juga akan dibawa kepada pihak kementerian berkenaan.

FAKTA KES * Pada 24 Mac 2007, Sheikh Faizan ditahan polis Taiwan kerana disyaki membawa heroin seberat 2.141 gram dalam sebuah beg miliknya ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia. * Sheikh Faizan yang ketika itu berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Taiwan di Taipei selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. * Pada mulanya dia yang bekerja di syarikat barangan kristal diminta ke Taiwan bagi menghantar barangan kristal ke negara berkenaan. * Berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan berat heroin yang ditemui di dalam begnya, dia seterusnya telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 24 Jun 2007 oleh mahkamah di Taiwan ketika itu.