SPR perlu kaji sempadan empat DUN

Sivanesan (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan sempena Aidilfitri kepada penerima di DUN Sungkai baru-baru ini
Sivanesan (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan sempena Aidilfitri kepada penerima di DUN Sungkai baru-baru ini
A
A
A
SUNGKAI - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengkaji semula sempadan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungkai, Tapah, Behrang dan Ayer Kuning dalam memastikan pengundinya mendapat bantuan daripada wakil rakyat paling hampir.

Adun Sungkai, A. Sivanesan berkata, pusat khidmatnya di Sungkai dikunjungi hampir 40 peratus pengundi daripada DUN Behrang, Tapah dan Ayer Kuning memandangkan jarak pusat khidmat ketiga-tiga DUN ini jauh daripada kediaman pengundi-pengundi berkenaan.

“Perkara ini berlaku akibat pensempadanan semula yang dilakukan SPR hingga menyebabkan pengundi misalnya di bawah DUN Sungkai sebelum ini di letakkan di bawah DUN Behrang tetapi jarak mereka dengan pusat khidmat saya dekat.

“Bayangkan mereka terpaksa melalui perjalanan sejauh satu jam 30 minit untuk ke pusat khidmat ADUN Behrang sekarang sedangkan untuk ke pusat khidmat saya hanya 15 hingga 30 minit,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir menyampaikan sumbangan hari raya Aidilfitri kepada pengundi di DUN Sungkai, baru-baru ini.

Menurut Sivanesan terdapat hampir 800 pengundi daripada Kampung Koh yang berada di bawah DUN Behrang terpaksa menghadapi kesukaran untuk ke pusat khidmat ADUN mereka terletak bersempadan dengan DUN Sungkai.

“Mahu tak mahu mana yang ada masalah pengangkutan mereka terpaksa hadir ke pusat khidmat saya untuk memohon bantuan kerana jauh untuk mereka ke Behrang.

“Saya hairan dan pelik bagaimana SPR boleh meletakkan Kampung Koh di bawah DUN Behrang sedangkan susah buat pengundi mendapatkan perkhidmatan daripada ADUN mereka kerana jauh,” katanya.

Sivanesan berkata pihaknya berharap SPR dapat meneliti perkara ini serta mempertimbangkan semula penetapan kawasan DUN terlibat memandangkan ia menyukarkan rakyat.

“SPR perlu buat pengubahsuaian bagi bertindak adil di kawasan berhampiran dengan pusat khidmat DUN,” katanya.
Artikel Berkaitan: