Latheefa perlu buktikan tindakan tidak pilih bulu

Latheefa Beebi Koya
Latheefa Beebi Koya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Latheefa Beebi Koya perlu benar-benar membuktikan beliau mampu bertindak tanpa memilih bulu selepas memegang jawatan tersebut.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Latheefa juga perlu berani membanteras amalan politik wang yang berlaku dalam pilihan raya dan pemilihan parti.

“Fokus sebenar yang perlu diutamakan ialah untuk membanteras rasuah maka tumpuan perlu dibuat kepada pemantauan ke atas langkah-langkah SPRM pada masa akan datang.

“Rakyat mengharapkan perubahan besar dalam usaha penghapusan gejala rasuah termasuklah yang berlaku secara sistematik melalui kelompongan dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenyataan itu juga menyebut Seri Paduka Baginda turut memperkenankan permohonan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak beliau sebagai Ketua Peseuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir 17 Mei 2020.

Tambah Muhammad Fathi, pelantikan Latheefa juga jelas bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk mengelakkan lantikan politik dalam agensi-agensi kerajaan.

Tegasnya, jika Ketua Pesuruhjaya SPRM mentadbir suruhanjaya itu berasaskan pengaruh politik maka musnahlah segala harapan untuk menghapuskan rasuah secara efektif dan memulihkan integriti perkhidmatan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat amat mengharapkan badan-badan kerajaan dikendalikan tanpa pengaruh kepartian.

“Tindakan seseorang tokoh parti meletakkan jawatan untuk menerima pelantikan demikian bukanlah satu jalan penyelesaian jujur sebagai justifikasi kegagalan mematuhi janji manifesto.

“Bahkan ia satu bentuk mempermainkan harapan rakyat kepada kerajaan,” ujarnya.

Katanya lagi, bukan senang memilih peneraju SPRM yang benar-benar mampu melakukan anjakan besar dalam usaha menghapuskan budaya dan amalan rasuah dalam negara.

“Peneraju baru SPRM sepatutnya dari kalangan aktivis masyarakat yang benar-benar berani, berpengalaman, dan berhikmah.

“Memang susah untuk mendapat tokoh yang mempunyai kesemua ciri-ciri berkenaan,” katanya.