Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Lagun Kuala Ibai

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki dari Johor dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika bermain air di Lagun Kuala Ibai, di sini pagi tadi.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira jam 10.15 pagi setelah mangsa, Muhammad Aidil, 9, terjatuh apabila pasir yang dipijaknya runtuh sebelum dihanyutkan air.
Bapanya, Muhammad Razali Ibrahim, 38, berkata, dia dan isteri bersama tujuh anaknya datang ke kawasan perkelahan itu kira-kira jam 10 pagi.
"Semasa kejadian berlaku, Aidil bermain air bersama enam lagi adik beradiknya.
“Isteri saya, Noraini Yahya, 42, lihat anak-anak kami bermain air, saya pula keluar membeli air di kedai berhampiran sebelum saya dimaklumkan kejadian menimpa Aidil.
“Bila saya sampai, orang awam di situ beritahu anak jatuh sebelum dihanyutkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelasnya, mereka pulang ke kampung isterinya di Kampung Tanjung sehari sebelum hari raya dan bercadang pulang ke Johor Bharu petang ini.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Zakariya Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.23 pagi, sebelum satu jentera dan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.
“Kita membuat tinjauan permukaan air di lokasi kejadian sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.
"Operasi ini menghadapi sedikit kesukaran kerana arus laju disebabkan air pasang.
“Setakat ini, seramai lapan anggota terbabit dalam SAR ini dan kita turut mendapatkan bantuan daripada PPDA Kuala Berang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
