Ibu tunggal dipenjara 30 bulan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang ibu tunggal dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman ke atas Teoh Lay Lean, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Terdahulu, Lay Lean diarah membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Tertuduh, kemudian menukar pengakuan kepada bersalah selepas mendapat nasihat daripada peguam yang mewakilinya, Benjamin Tan, sebelum pertuduhan itu dibacakan semula oleh jurubahasa dalam bahasa Hokkien.

Mengikut kertas pertuduhan, Lay Lean didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.07 gram di tepi Jalan Van Praagh, di sini jam 8.00 malam, 29 Sept 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, peguam tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah direman sejak 29 Sept 2016 dan menjimatkan masa serta kos semua pihak selepas menukar pengakuan.

"Tertuduh direman kira-kira dua tahun tiga bulan dan berikutan itu dia telah kehilangan kerja sebagai eksekutif akaun. Tertuduh turut menyara seorang anak lelaki dan ibu berusia 63 tahun yang juga mengalami masalah tulang belakang.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun sebelum ini tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ini, namun selepas mengambil kira keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan terhadap dua lagi pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dia mengambil peluang ini untuk mengaku bersalah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suaibon kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh tangkap pada 29 Sept 2016.

Sementara itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan Lay Lean terhadap dua lagi pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methaphetamine, dua tahun lepas setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.

Lay Lean didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 74.7 gram di rumah 9A-12-13 Taman Kheng Tian, Jalan Van Praagh di sini pukul 8.30 malam, 29 Sept 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.