Orang ramai diminta isi borang maklumat balik kampung

Mazlan - Foto Bernama
Mazlan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan untuk mengisi Borang Maklumat Balik Kampung bagi memudahkan pemantauan polis ketika mereka pulang bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata borang itu boleh didapati di balai polis berhampiran atau dimuat naik melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di App Store dan Google Playstore.

Beliau berkata sebanyak 837 borang diterima setakat ini, dengan 2,294 rondaan dilakukan di kediaman atau premis di sekitar ibu negara.

"Setakat ini, tiada kes pecah rumah membabitkan kediaman yang pemiliknya menghantar borang maklumat balik kampung itu kepada pihak polis.

"Kami tidak mahu kes pecah rumah berlaku ketika mereka pulang ke kampung,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Perjalanan Selamat Sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Duta di sini, hari ini. Beliau berkata setakat semalam, 8,896 saman dikeluarkan menerusi Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri ini, sejak ia dilancarkan Rabu lepas.

"Kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Operasi berterusan akan dilakukan sepanjang Op Selamat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula Rabu lepas sehingga 12 Jun.

Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. -Bernama

Artikel Berkaitan: