13 warga Afrika ditahan polis

Antara warga asing yang ditahan polis. - Foto: Polis Kuala Lumpur
Antara warga asing yang ditahan polis. - Foto: Polis Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 warga Afrika ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing yang diadakan di sekitar ibu kota awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepanjang operasi ini, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 136 orang warga asing.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 13 orang merupakan warga Afrika selebihnya Myanmar (14), Bangladesh (13), Vietnam, Loas dan Nepal (1), Pakistan (4), India (9) dan Thailand (6).

"Operasi dilakukan di sekitar kawasan Changkat Bukit Bintang, Endah Promenade Sri Petaling, Apartment Connaught, Cheras, Jalan Danau Niaga, Setapak, Metro Prima Kepong dan Kepong Baru, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

"Tangkapan yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut," katanya.

Mazlan menambah, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekaligus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya lagi.

Operasi yang dijalankan bermula jam 9malam semalam berakhir jam 7 pagi tadi turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia.