Pestans baris dua pemain kebangsaan pada STL 2019

No Image Caption
A
A
A

NEGERI Sembilan membariskan dua pemain kebangsaan bagi menghadapi cabaran Liga Sepak Takraw (STL) 2019 yang akan bermula September depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) Wan Mohd Husni Abdullah berkata mereka ialah Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Hafizul Hayazi Adnan yang bermain di posisi apit kanan.

Katanya pemain lain yang tersenarai ialah bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd Hisham Mat, Mohd Nasiruddin Majur Ahmad, Mohd Syazreen Qamar Salehan dan Zuleffendi Sumari.

"Mohd Hisham dan Mohd Nasiruddin bermain di posisi tekong, manakala Mohd Syazreen Qamar dan Zuleffendi di posisi apit kiri. Bekas pemain Johor Mohd Nor Amizi Mohd Nordin pula bertindak sebagai tekong dan Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tekong import Wirawut Na Nongkhai dari Thailand,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata Negeri Sembilan yang menyasarkan tempat ketiga teratas pada saingan liga itu akan mengekalkan jurulatih Mohd Isa Sidek dan Mohd Shahir Nasruddin berdasarkan prestasi mereka pada tahun lepas di mana Negeri Sembilan muncul juara Divisyen 1 STL 2018.

Tahun ini Negeri Sembilan dinaikkan ke saingan Liga Premier setelah menjuarai Divisyen 1 dan tempat ketiga dalam STL Champions Cup 2018.

Selain Negeri Sembilan, sembilan lagi pasukan yang bersaing di Liga Premier STL 2019 ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak dan Terengganu.

Mengenai saingan Liga Premier, beliau berkata tiga pasukan yang dijangka memberi tentangan sengit ialah Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan ATM.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita tidak memandang mudah cabaran pasukan lain. Untuk itu, kita akan menjalani latihan intensif selama dua minggu di Nakhon Phatom, Thailand iaitu tempat latihan yang sama pada tahun lepas," katanya.

Sementara itu, katanya Pestans telah mendapat penajaan peralatan daripada syarikat barangan buatan Malaysia iaitu Gajah Emas di mana syarikat itu akan menjadi penaja peralatan rasmi Pestans untuk semua kejohanan persatuan itu di peringkat negeri dan daerah.

Di samping itu, katanya Pestans juga akan menjalinkan kerjasama dengan McDonald's Malaysia yang menjadi rakan strategik persatuan itu. - Bernama