MPNF minta hutang peneroka ditangguhkan bayaran

Mazlan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan sempena Program Kasih Peladang bagi kawasan Kulai.
Mazlan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan sempena Program Kasih Peladang bagi kawasan Kulai.
A
A
A

KULAI - Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) meminta pembayaran hutang para peneroka Felda ditangguhkan selama tempoh tiga bulan kepada pengurusan Felda.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, tempoh berkenaan sangat relevan bagi memberi keselesaan kepada para peneroka membuat persiapan Aidlfitri.

"Tiga bulan untuk bagi keselesaan. Sebab biasanya para peneroka ini bukan ada pendapatan lain.

"Jadi, kalau tiga bulan diserap atau ditangguh bayaran hutang itu maka lebih selesa kepada para peneroka. Sebenarnya, dari dahulu kita pernah minta.

"Tetapi, ada masanya Felda buat dan Felda juga bergantung kepada aliran cairan tunainya," katanya.

Terdahulu, Mazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyempurnakan Program Kasih Peladang kawasan Kulai di Hotel Perth 21 dekat Senai, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan lebih 60 ahli peladang daerah berkenaan menerima bantuan duit raya bernilai RM400 dengan agihan keseluruhan RM24,000.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan situasi terkini adalah sangat wajar Felda menangguhkan pembayaran hutang para peneroka.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, bagi saya, dengan situasi terkini adalah sangat wajar Felda berbuat demikian (tangguh pembayaran).

"Kalau Felda tidak potong dan tidak tangguhkan bermakna berjalan seperti biasa, maka memang pendapatan para peneroka sekadar RM500 atau RM600 sahaja sebulan dan ianya adalah rendah," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sumber kekayaan di negeri sangat berpotensi untuk dimanfaatkan dengan tanaman kelapa.

"Kerajaan telah memperuntukkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kulai, Pengerang dan Kota Tinggi Timur untuk mengusahan tanaman kelapa secara besar-besaran.

"Setiap PPK telah diperuntukkan lebih kurang 20 hektar untuk tanaman kelapa ini.

"Apabila ketiga-tiga PPK ini mendapat sejumlah kawasan yang luas, maka bukan sahaja industri kelapa berasaskan santan dan kelapa muda boleh dibuat, tetapi kita akan meneroka industri hiliran seperti membuat minyak kelapa dara, kraftangan dan sebagainya," katanya.