KPKT lantik DPP baharu untuk inkues Adib

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melantik seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kanan bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba Malaysia dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, DPP tersebut akan bertindak bebas daripada pegawai yang menjalankan inkues tersebut, susulan penarikan diri peguam, Shazlin Mansor yang sebelum ini bertindak bagi pihak jabatan.

“Saya telah bertemu Tommy Thomas berkaitan pelantikan wakil perundangan untuk KPKT serta jabatan bomba bagi mengikuti prosiding inkues yang sedang berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Adib tiada hasrat saman KPKT, JPBM

“Kami telah bersepakat bahawa atas dasar kepentingan bagi pihak kementerian dan jabatan bomba agar Timbalan Pendakwa Raya turut juga mewakili kedua-dua entiti tersebut untuk merungkai tentang bagaimana seorang anggota beruniform kami mendapat kecederaan yang membawa maut sewaktu bertugas.

“Peguam Negara juga telah secara sewajarnya memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang akan dilantik kelak akan menerima pakai kesemua bukti dan hujahan yang dikemukakan terdahulu dalam Mahkamah Koroner oleh Syazlin, termasuk keterangan Prof Dr Shahrom Abd Wahid,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Isnin lalu, Syazlin yang mewakili KPKT dan jabatan bomba menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Adib kerana dikatakan beliau berada di dalam kedudukan konflik kepentingan apabila bersetuju untuk mewakili KPKT dan jabatan bomba yang dalam masa sama turut mewakili keluarga Allahyarham Adib.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya berharap agar tindakan tersebut akan menghentikan sebarang spekulasi tidak bertanggungjawab dan supaya inkues itu dapat diteruskan dengan baik tanpa gangguan.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Shazlin di atas khidmat profesional yang diberikan atas dasar pro bono sepanjang prosiding inkues yang lalu.