Tragedi ketika menjamah hidangan berbuka

Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa yang berlaku ketika umat Islam sedang berbuka puasa. - FOTO BOMBA
Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa yang berlaku ketika umat Islam sedang berbuka puasa. - FOTO BOMBA
A
A
A

KOTA BHARU - Sembilan sekeluarga sedang berbuka puasa lari bertempiaran menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah sewa didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 7.26 malam itu turut memusnahkan dua kereta milik keluarga itu.

Ketika kejadian keluarga ini sedang menikmati juadah berbuka puasa sebelum lari menyelamatkan diri sebaik melihat api.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Samsuddin Mat berkata, 17 anggota dari BBP Pengkalan Chepa dan Kota Bharu termasuk pasukan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah kediaman separuh kekal sudah 90 peratus hangus termasuk dua kereta jenis Proton Waja dan Nissan Sentra.

“Sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva mengalami 20 peratus kerosakan akibat terbakar pada bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, anggota berjaya mengawal api pada jam 7.35 malam dan kerja pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 8.10 malam.

“Kejadian tidak membabitkan nyawa dan setakat ini punca kebakaran rumah berkenaan berserta jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: