Dua kementerian siasat kes pelajar sekolah ketagih vape

Boon Chye (tengah) ketika sidang media yang turut disertai Thomas dan Sandrea di Pejabat Ahli Parlimen Gopeng, di sini hari ini.
Boon Chye (tengah) ketika sidang media yang turut disertai Thomas dan Sandrea di Pejabat Ahli Parlimen Gopeng, di sini hari ini.
A
A
A

GOPENG - Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menyiasat laporan mengenai penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar yang dikatakan pada tahap kritikal serta membimbangkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penjualan rokok elektronik berkenan dikawal oleh kerajaan melalui Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menurutnya, tindakan boleh dikenakan ke atas penjual selain memantau penjualan rokok elektronik itu secara tidak sah dalam talian.

"Kita mengambil perhatian terhadap laporan baru-baru ini yang mengatakan bahawa terdapat penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah.

"Kita akan menyiasat keadaan ini bersama Kementerian Pendidikan. Kita akan ambil tindakan kepada penjual," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gopeng, di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah kini berada pada tahap kritikal dan membimbangkan.

Menurut Pegawai Penyelidikan persatuan berkenaan, NV Subbarow, mereka mendapati terdapat segelintir pelajar sekolah berusia seawal 14 tahun sanggup berbelanja melebihi RM60 sebulan bagi meneruskan ketagihan terhadap rokok elektronik itu.

Selain itu, CAP turut mendapati terdapat murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun yang terpengaruh dengan pengambilan shisha yang boleh didapati dalam pelbagai perisa buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Chye berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau aktiviti penjualan rokok elektronik atas talian.

"Penjualan bukan mudah ditangani dan memerlukan usaha bersama dari pihak sekolah dan ibu bapa khususnya. Saya harap ibu bapa ambil berat terhadap perkara ini terus memantau dan bekerjasama pihak berkaitan.

"Kementerian Kesihatan mempunyai Unit Siber yang memantau aktiviti penjualan dalam talian sama ada rokok elektronik, ubat palsu dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melaporkan kepada SKMM sebarang penjualan tidak sah atau ubat palsu di mana-mana laman web untuk dikeluarkan dari internet.