'Awasi integriti anggota di sempadan'

Mohd Shahar (kanan) menyerahkan tongkat kuasa kepada Muhammad sambil disaksikan Acryl Sani.
Mohd Shahar (kanan) menyerahkan tongkat kuasa kepada Muhammad sambil disaksikan Acryl Sani.
A
A
A

TAMBUN - Anggota polis yang bertugas di kawasan persempadanan diingatkan agar sentiasa mementingkan integriti dalam melaksanakan tugas seharian bagi menjaga imej dan keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini kerana pergerakan rentas di kawasan sempadan memerlukan pengawasan sepenuhnya terutama pada musim perayaan ini apabila aktiviti jenayah semakin giat dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita perlu memastikan anggota kita di sempadan bertugas dengan penuh kewibawaan dan tanggungjawab, tidak boleh leka atau lalai kerana ia boleh menimbulkan pelbagai ancaman keselamatan negara.

"Ini paling mustahak dan saya sama sekali tidak berkompromi dalam perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Kem Briged Utara PGA Ulu Kinta hari ini.

Menurutnya, kawalan dan pengawasan di sempadan Malaysia-Thailand kini dipertanggungjawabkan kepada PGA Briged Utara dan Briged Tenggara menerusi Op Wawasan di 44 pos kawalan Utara-Perak dan Kelantan.

"Inilah satu daripada fungsi utama PGA untuk memastikan seberapa boleh kawasan sempadan kita tidak dibolosi kerana macam-macam perkara boleh berlaku daripada aktiviti ekonomi hinggalah jenayah penyeludupan manusia dan dadah," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, berlaku peningkatan tangkapan dan rampasan melibatkan kes penyeludupan daun ketum, senjata api, pendatang asing dan barangan kontraban disebabkan kawalan ketat dan risikan dilakukan anggota.

Katanya, bermula Januari hingga kini, Op Wawasan Kedah/Perlis berjaya membuat tangkapan dan rampasan melibatkan penyeludupan daum ketum dan barangan kontraban seperti minuman keras dan rokok dengan anggaran nilai lebih RM4.68 juta.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya setiap komander akan memastikan penugasan anggota mereka dilakukan dengan penuh integriti dan sepanjang musim perayaan ini, hanya 10 peratus daripada keseluruhan anggota di setiap batalion diberikan pelepasan bertugas dan bercuti," katanya.

Mohd Shahar dan isteri, Hasnah Arifin diarak keluar menggunakan kereta khas oleh pegawai dan anggota pada majlis perpisahan hari ini.
Mohd Shahar dan isteri, Hasnah Arifin diarak keluar menggunakan kereta khas oleh pegawai dan anggota pada majlis perpisahan hari ini.

Dalam majlis itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim, 60, yang memegang jawatan sebagai Komander Briged Utara sejak 2017 telah bersara wajib.

Tugas beliau akan dipangku Timbalannya, Asisten Komisoner Muhammad Abdul Halim.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara khas Road Lining menggunakan sebuah kenderaan khas dan ditarik keluar oleh pegawai-pegawai kanan, sementara anggota pangkat rendah berdiri kiri kanan jalan memberi lambaian perpisahan.