Dasar Pelancongan Negara 2020-2050 dirangka

Muhammad Bakhtiar Wan Chik
Muhammad Bakhtiar Wan Chik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini dalam proses menggubal Dasar Pelancongan Negara 2020-2050, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata dasar itu akan menyediakan dengan jelas hala tuju strategik yang ditetapkan serta sasaran untuk menyatu dan mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan dunia.

Beliau menjawab soalan senator Bathmavathi Krishnan yang mahu tahu langkah yang diambil kementerian untuk memastikan aspek ''accessible tourism' diberi perhatian dari segi tempat penginapan yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta menepati piawaian 'universal design'.

Menjawab lanjut Muhammad Bakhtiar berkata kementerian komited dalam memastikan semua kategori pelancong boleh melancong ke Malaysia dengan selamat dan selesa dengan berpandukan prinsip ‘Tourism For All–Promoting Universal Accessibility’ oleh United Nations World Tourism Organisation (UNWTO).

Muhammad Bakhtiar berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah menetapkan satu daripada kriteria di bawah Pengelasan Premis Penginapan Pelancong iaitu sekurang-kurangnya satu bilik dengan kemudahan untuk orang kurang upaya hendaklah disediakan oleh Premis Penginapan mengikut Akta OKU 2007.

"Selain itu, terdapat penetapan standard bagi setiap pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelancongan di mana ia perlu mematuhi Piawaian Malaysia MS1184 - Universal Design and Accessibility in the Build of Environment.

"Kelengkapan yang perlu dipasang di setiap projek pelancongan termasuk tanjakan (ramp), susur tangan (handrails), tempat letak kereta boleh diakses, papan tanda dan tandas yang mesra OKU," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: