TNB berjanji akan membayar balik caj berlebihan

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan pada sidang media mengenai isu bil elektrik tinggi yang di adakan di Ibu Pejabat TNB Bangsar. - FOTO Sinar Harian/Rosli Talib
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan pada sidang media mengenai isu bil elektrik tinggi yang di adakan di Ibu Pejabat TNB Bangsar. - FOTO Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengulangi komitmen akan mengkreditkan semula wang ke dalam bil pelanggan sekiranya terbukti ada lebihan caj dikenakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan menggalakkan pelanggan yang merasakan mereka dicaj berlebihan untuk membuat laporan ke Kedai Tenaga atau menghubungi talian TNB Careline.

“Kalau mereka rasa bilnya dicaj lebih, buat laporan dulu dan kita boleh siasat sama ada aduan itu betul atau tidak. Kalau betul dan mereka memang sudah bayar bil, TNB akan kreditkan semula ke akaun pengguna.

“Bila ada aduan, kita akan terangkan kepada mereka dan beritahu bagaimana kami melakukan pengiraan.

“Kebanyakan pelanggan, selepas diterangkan mereka memahaminya,” katanya pada Sidang Akhbar Mengenai Isu Bil Tinggi di Ibu Pejabat TNB di sini petang tadi.

Begitupun, katanya, sekiranya pelanggan masih merasakan bil mereka tidak munasabah seperti berganda jumlahnya, TNB akan hantar petugas ke lokasi mereka dan cuba mencari jalan penyelesaian.

“Kalau ada kesilapan dari pada pihak kami, kita akan pulangkan kembali (wang pelanggan). Polisi kami mudah, apa yang bukan hak kami, itu bukan hak kami.

“Bila aduan dibuat, kita siasat dan akan cuba selesaikan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, media sosial hangat memperkatakan kenaikan bil elektrik secara mendadak sehinggakan ada mendakwa berlakunya peningkatan hampir sekali ganda.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan TNB terpaksa mengeluarkan beberapa kenyataan media untuk menerangkan situasi tersebut kepada pelanggannya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan beberapa menteri berkenaan isu tersebut, Amir Hamzah menegaskan TNB kini memberikan tumpuan untuk menyelesaikan semua aduan dibangkitkan pelanggan.

“Keputusan yang TNB ambil, kita akan fokuskan kepada menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu. Itu yang kita nak buat sekarang.

“Kita tutup isu ini dulu dan selepas itu, barulah kita akan bincang perkara lain,” katanya.