Pemandu treler maut, tiga cedera

Keadaan treler yang terbalik menyebabkan pemandunya maut sementara tiga yang lain parah.
Keadaan treler yang terbalik menyebabkan pemandunya maut sementara tiga yang lain parah.
A
A
A

KAMPAR - Seorang pemandu treler maut sementara isteri dan dua anak cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik di KM309.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Kampar, pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 5 pagi itu berlaku ketika empat beranak berkenaan dalam perjalanan dari Pendang, Kedah menuju ke Johor dengan membawa muatan barangan runcit termasuk beras.

Mangsa, Mohd Suffian Mahathir, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian turut menyebabkan seorang wanita berusia 26 tahun patah tulang bahu kiri manakala kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lima dan empat tahun mengalami patah tangan kiri.

“Siasatan awal mendapati, treler dipandu mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok dan terbalik.

"Akibat kejadian itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Keadaan laluan di situ agak gelap kerana tiada lampu, buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelemat Gopeng yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 pagi.