Surah al-Kahf panduan solusi empat cabaran

Fazrul
Fazrul
A
A
A

GOMBAK - Surah al-Kahf telah memberi panduan untuk menguruskan empat cabaran dihadapi umat Islam iaitu iman, kuasa, harta dan ilmu.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, bagi cabaran iman ia diceritakan melalui kisah pemuda yang ditidurkan dalam gua.

"Ayat ke-13 dan 14 menerangkan kaedah menguruskan iman. Ciri pemuda ialah beriman dan ditambah hidayah, kemudian ALLAH teguhkan hati mereka.

"Pada zaman ini, kita kena terus beriman dengan al-Quran jika mahu mengukuhkan institusi keluarga dan pemimpin terus kuat dalam dunia penuh cabaran. Insya-ALLAH, ALLAH akan menambah hidayah dan teguhkan hati kita," katanya dalam sesi tadabbur surah al-Kahf di World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.

Bagi cabaran kuasa pula katanya, pemimpin boleh mengambil ibrah daripada kisah Zulkarnain yang diberikan kuasa untuk memerintah bumi oleh ALLAH.

"Zulkarnain sentiasa menyatakan segala kejayaan adalah rahmat daripada ALLAH.

"Moga-moga kita juga dipandu oleh ALLAH melalui surah al-Kahf sehingga bencana dan cabaran dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa berkata, kisah pemilik kebun yang takbur pula memaparkan mengenai cabaran harta.

Artikel Berkaitan:

"Islam tidak menghalang kita memiliki harta dan kedudukan tetapi ia juga ujian daripada ALLAH dan perlu diuruskan mengikut panduan yang diajar ALLAH dan Rasulullah.

"Semua keistimewaan yang dimiliki di muka bumi ini perlu disandarkan kepada ALLAH," katanya.

Manakala, katanya, panduan menguruskan cabaran ilmu dikisahkan melalui pengembaraan Nabi Musa mencari ilmu.

"Kisah ini menyeru semua lapisan masyarakat menuntut ilmu dalam pelbagai bidang daripada ilmuwan yang berpengalaman.

"Para cendekiawan dan pendidik perlu keluar dari zon selesa dan pergi ke tempat yang kurang kemajuan untuk membina tembok ilmu agar mereka dapat menikmati rahmat ALLAH," katanya.