Jangan 'double standard' kes Muhammad Adib

Kamarudin Sidek
Kamarudin Sidek
A
A
A
MELAKA - Pas Melaka mendesak kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja dalam isu kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.

Pesuruhjayanya, Kamarudin Sidek menegaskan Allahyarham Muhammad Adib adalah seorang penjawat awam dan Pas berharap siasatan kes ini perlu disegerakan serta perkembangannya dimaklumkan secara kerap.

"Bagi saya ini adalah jenayah yang ditaja bukan secara kebetulan. Siasatan perlu menyeluruh tanpa dilepaskan walau pun seorang. Sama ada yang membunuh, dalang hatta menteri tertentu yang keluarkan kenyataan yang mendorong pelampau terbabit bertindak sedemikian rupa.

"Saya berpendapat kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja dalam isu ini. Juga perlu diisytiharkan penjenayah terbabit diresapi pemikiran teroris. Rakyat sedang melihat reaksi kerajaan dalam menangani isu kritikal ini," katanya.

Allahyarham Muhammad Adib yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam semalam.

Beliau berkata, Pas Melaka mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib di atas pemergian beliau.

"Seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama menerima berita yang begitu tragis dengan perasaan bercampur sedih, dendam dan simpati yang amat sangat.

"Sebahagian menteri yang sebelum ini pernah begitu agresif dalam isu kematian Teoh Beng Hock dan S. Kugan, jangan bersikap 'double standard' dalam isu kematian Allahyarham Muhammad Adib," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: