Teguran Daim perlu dipandang serius

Syed Saddiq bersama Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Jakel, Mohd Fuad Ahmad (kanan) selepas majlis sumbangan Jakel Raya kepada golongan asnaf di Jakel Mall hari ini.
Syed Saddiq bersama Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Jakel, Mohd Fuad Ahmad (kanan) selepas majlis sumbangan Jakel Raya kepada golongan asnaf di Jakel Mall hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kabinet memandang serius teguran bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang meminta menteri-menteri supaya berbincang terlebih dahulu dengan setiausaha akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, setiap menteri Kabinet perlu muhasabah diri kerana tidak ada seorang pun bebas daripada melakukan kesilapan termasuk dirinya sendiri.

“Kita perlu sentiasa mengambil teguran seperti ini secara serius dan kita harus muhasabah diri kerana tidak ada seorang pun bebas daripada membuat kesilapan, termasuk diri saya.

“Teguran seperti disuarakan Tun Daim harus dipandang serius kerana beliau berpengalaman lama dalam arena politik dan pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui media selepas majlis sumbangan Jakel Raya kepada golongan asnaf di Jakel Mall di sini hari ini.

Dalam satu wawancara khas dengan Astro Awani kelmarin, Daim menasihatkan menteri-menteri Kabinet supaya berbincang terlebih dahulu dengan setiausaha akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Kalau nak buat kenyataan, bincang tengok apa kesannya, bincang dengan pegawai kemudian bincang menteri dengan menteri. Bukan seronok-seronok buat kenyataan.

"Kalau positif keluar kenyataan, kalau negatif jangan keluar kenyataan, kalau negatif nak umum juga, bodoh lah," katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, antara faktor menyumbang kepada kejatuhan nilai ringgit ialah disebabkan menteri tidak bijak berkomunikasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara bentuk kesilapan ialah notis cukai pendapatan yang terlalu banyak dihantar kepada orang ramai membuatkan rakyat takut berbelanja hingga menyebabkan ringgit mengalami kejatuhan.

Daim berkata perkara itu diburukkan lagi apabila penghantaran notis cukai itu diumumkan kepada orang ramai hingga menyebabkan mereka takut berbelanja.