'Kerjasama PH yang merosot, bukan UMNO-Pas'

A
A

KOTA SARANG SEMUT - Hubungan antara parti dalam PH yang akan mula merosot apabila menghampiri PRU15 bukannya kerjasama UMNO-Pas seperti didakwa pihak tertentu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kerjasama itu tidak menampakkan kemerosotan seperti dikatakan pihak tertentu sebaliknya bertambah erat terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Menurut Hashim, beliau mendapati kerjasama antara dua pihak terbabit semakin bertambah erat dibuktikan melalui sokongan pemimpin parti berkenaan dalam setiap program diadakan.

"Itu kemungkinan yang merupakan ramalan semata-mata. Dari sudut pandangan dia sahaja. Apa yang kita perhatikan kerjasama UMNO-Pas ini bertambah rapat dari hari ke hari.

"Saya sudah dua, tiga kali berbuka puasa bersama pemimpin UMNO iaitu dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Perlis," katanya.

Hashim berkata sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerjasama UMNO-Pas akan merosot ketika menghampiri PRU15 berikutan perbezaan antara dua parti itu.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Ifthor Perdana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Pemuda Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah, di sini semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurrazi, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid dan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli.

Hashim (tiga dari kanan) berbuka puasa bersama Jamil Khir (dua dari kanan) pada Majlis Ifthor Perdana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Pemuda Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah di sini semalam.
Hashim (tiga dari kanan) berbuka puasa bersama Jamil Khir (dua dari kanan) pada Majlis Ifthor Perdana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Pemuda Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah di sini semalam.

"Malah, beberapa bekas menteri besar dikumpulkan dalam satu majlis baru-baru ini. Takkan itu tanda kita makin merosot. Saya tidak nampak perkara itu, tetapi pengaruh merekalah yang merosot

"Saya bukanlah mahu cakap besar, tetapi jikalau esok ataupun tahun ini ada pilihan raya...maka, kemenangan akan berpihak kepada kita. Insya-ALLAH," katanya.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, tidak dinafikan, masih ada akar umbi yang datang bertemu dengan diri dan bangkit mempersoalkan kerjasama antara UMNO dan Pas itu.

"Apabila kita jelaskan sedikit sahaja perkara yang dirunsingkan itu, Alhamdulillah semuanya selesai dan mampu menerima. Benda ini wajib untuk kita laksanakan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, Hashim berkata, akar umbi berkenaan dilihat menerima kerjasama terjalin antara dua parti itu selepas diberi penerangan berkaitan perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau melihat keserasian amat tinggi antara UMNO dan Pas.

"Kita boleh lihat perkara ini melalui pelbagai program dianjurkan, yang mana mendapat sambutan luar biasa dari penyokong kedua-dua parti ini.

"Jikalau ada kebencian ataupun kecurigaan, tentunya kehadiran pada setiap program menghimpunkan kedua parti dalam satu pentas tidak memberangsangkan namun sebaliknya ia mendapat sambutan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, ia membuktikan keserasian kuat dan padat, apatah lagi lagi kita di bawah rumpun sama ditunjangi Islam dan Melayu.

"Kita juga memiliki raja yang menjadi payung negeri dan negara.

"Kita tunggu bagaimanapun keserasian ini. Kerangka penyatuan bukan sekadar atas pentas dan ucapan semata-mata tetapi disusun dengan kerangka bersifat konkrit dengan piagam yang akan dimetrikan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia