X

Kindly register in order to view this article
!

Bayi sebesar sebiji epal dilahirkan di California

Seorang jururawat memegang Saybie pada hari bayi itu dibenarkan keluar dari Hospital Wanita dan Bayi Sharp Mary Birch, awal bulan ini. - Foto AFP
A
A

CALIFORNIA - Sebuah hospital di California semalam mendedahkan kelahiran bayi terkecil di dunia dengan berat hanya 245 gram bersamaan sebiji epal bersaiz besar.

Bayi perempuan yang diberi nama timangan Saybie oleh petugas Hospital Wanita dan Bayi Sharp Mary Birch di San Diego itu dilahirkan ketika kandungan ibunya baru mencecah 23 minggu dan tiga hari.

Selepas dilahirkan, ayah Saybie diberitahu oleh doktor anaknya hanya mampu bertahan untuk kira-kira satu jam sahaja.

"Namun, tempoh satu jam bertukar menjadi dua jam, sehari bertukar menjadi seminggu," kata ibu Saybie dalam satu rakaman video yang dikeluarkan pihak hospital.

Saybie, bayi terkecil di dunia dengan berat hanya 245 gram ketika dilahirkan pada Disember tahun lalu. - Foto AFP
Saybie, bayi terkecil di dunia dengan berat hanya 245 gram ketika dilahirkan pada Disember tahun lalu. - Foto AFP

Saybie yang dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean pada Disember tahun lalu dirawat di unit rawatan rapi neonatal selama hampir lima bulan sebelum dibenarkan pulang pada awal bulan ini dengan berat mencecah 2.2 kilogram.

Jururawat Kim Norby yang menjaga Saybie berkata, anak kecil itu merupakan satu keajaiban, manakala seorang lagi rakan sejawatnya, Emma Wiest berkata, tubuh Saybie amat kecil ketika baru dilahirkan dan muat dalam telapak tangannya.

Menurut doktor, selain semangat juang yang kuat, Saybie juga tidak mengalami sebarang komplikasi serius selepas kelahiran seperti masalah jantung dan paru-paru.

Kedudukan Saybie sebagai bayi terkecil di dunia adalah menurut Daftar Bayi Terkecil kelolaan Universiti Iowa.

Rekod bayi terkecil sebelum ini dipegang oleh seorang bayi yang dilahirkan di Jerman pada tahun 2015 dengan berat tujuh gram melebihi Saybie. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus