Latar beri diskaun 10 peratus raya pertama

Plaza Tol Taman Rimba Templer antara tol dalam Lebuhraya Latar yang turut menawarkan diskaun 10 peratus sempena hari raya pertama. (Gambar kecil: Ahmad Fuad)
Plaza Tol Taman Rimba Templer antara tol dalam Lebuhraya Latar yang turut menawarkan diskaun 10 peratus sempena hari raya pertama. (Gambar kecil: Ahmad Fuad)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengguna Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) bakal menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada hari raya pertama nanti.

Ketua Pegawai Operasi, Lebuhraya Latar, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, diskaun itu bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam.

“Diskaun tol 10 peratus ini adalah untuk dinikmati pengguna kenderaan kelas 1 di semua tol plaza Lebuhraya Latar.

“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat dan juga bertujuan meraikan sekali gus menghargai sokongan pengguna setia.

“Dengan adanya insentif diskaun tol ini, diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan pengguna semasa musim perayaan ini,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, Lebuhraya Latar juga mempunyai pasukan Expressway Patrolling and Emergency Response Team (Expert Latar).

“Pasukan ini sentiasa bersiap sedia 24 jam bagi membantu pengguna dalam sebarang situasi kecemasan.

“Bukan itu sahaja, lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go juga akan beroperasi 24 jam bagi memudahkan pengguna dalam perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Kepada semua pengguna Lebuhraya Latar, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Semoga mereka dapat menikmati perjalanan balik kampung yang selesa dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebuhraya Latar menghubungkan Kuala Lumpur dari Taman Rimba Templer di daerah Gombak sehingga Ijok di daerah Kuala Selangor.

Konsesi lebuh raya ini menawarkan laluan alternatif ke utara Pantai Barat Semenanjung dengan perjalanan lebih baik dan lancar untuk pulang ke kampung.

Kemudahan lebuh raya ini dapat mengelakkan dari terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang sering dilaporkan semasa musim perayaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Lebuhraya Latar, sila hubungi talian 0361451515 atau dapatkan informasi terkini di Facebook dan Twitter Latar.