20,500 juadah raya diagihkan kepada pasukan keselamatan

Ahmad Faizal (tengah) bersama 22 pasukan beruniform yang hadir pada majlis pembungkusan dan penyerahan juadah Aidilfitri 2019 hari ini.
Ahmad Faizal (tengah) bersama 22 pasukan beruniform yang hadir pada majlis pembungkusan dan penyerahan juadah Aidilfitri 2019 hari ini.
A
A
A

IPOH - Sejumlah 20,500 bungkusan juadah raya diagihkan kepada 22 pasukan keselamatan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian juadah itu adalah satu cara bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota yang bertugas menjaga keamanan negara.

"Persatuan Amal Isteri Harapan Perak (Kasih) bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kaum Ibu Tentera (Bakat), Puteri Islam dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) membantu urusan pembungkusan semua juadah berkenaan.

"Perkara ini diadakan setiap tahun untuk menghargai jasa mereka yang terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembungkusan dan penyerahan juadah Aidilfitri kepada pasukan beruniform 2019 di sini hari ini.

Setiap kotak makanan berisi rendang tok, serunding, kuah kacang, beras dan kopi.

Antara pasukan menerima bungkusan juadah itu adalah PDRM, Markas 2 Briged Tentera Darat, Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan 69 Komando PGA, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak.

Artikel Berkaitan: