Pertimbang bentang deklarasi Tolak Perang AS di Iran

Mohd Azmi (kanan) menyerahkan deklarasi tolak perang AS di Iran kepada Adli Zakuan di sini hari ini. (Gambar kecil: Saifuddin Abdullah)
Mohd Azmi (kanan) menyerahkan deklarasi tolak perang AS di Iran kepada Adli Zakuan di sini hari ini. (Gambar kecil: Saifuddin Abdullah)
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah akan mempertimbangkan kandungan deklarasi 'Tolak Perang Amerika Syarikat di Iran' yang diusulkan Jawatankuasa Hentikan Kempen Perang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk dibentangkan dalam persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah malam ini.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Luar Negeri, Adli Zakuan Zairakithnaini berkata, malam ini (waktu Makkah) akan berlangsung persidangan menteri-menteri luar.

Katanya, beliau telah memaklumkan mengenai kandungan deklarasi yang dihantar kedua-dua pihak itu untuk diteliti oleh Saifuddin.

"Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan menolak sebarang penindasan termasuk mewujudkan provokasi perang, Malaysia tidak akan berdiam diri.

"Walaupun di era Malaysia baharu ini kita adalah kawan kepada semua tetapi tidak bermakna kita hanya akan berdiam diri jika berlaku pencabulan ke atas negara lain,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada perjumpaan tergempar Jawatankuasa Hentikan Kempen Perang 'Tolak Perang Amerika Syarikat di Iran' di sini hari ini.

Katanya, kementerian juga komited untuk mendengar pandangan NGO berhubung isu-isu semasa khususnya melibatkan masyarakat Islam di luar negara.

Terdahulu, satu perjumpaan tergempar melibatkan NGO Islam dalam dan luar negara hari ini sebulat suara bersetuju untuk menghantar deklarasi Malaysia 'Tolak Perang Amerika Syarikat di Iran' ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penyelaras Hentikan Kempen Perang, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, deklarasi itu akan diedarkan segera kepada semua NGO di seluruh negara untuk diperakui sekaligus membawa suara lebih ramai rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bertemu Tun Mahathir bincang isu dalam, luar negara