Ibu tunggal tak mampu beli baju raya anak

Nur Aryssa (kanan) menerima sumbangan keperluan dapur dan wang tunai pada program anjuran ECERDC.
Nur Aryssa (kanan) menerima sumbangan keperluan dapur dan wang tunai pada program anjuran ECERDC.
A
A
A

MARANG - Ketika ada yang berhabis sehingga ribuan ringgit untuk membeli baju raya, namun masih terdapat mereka di luar sana yang langsung tiada kelengkapan bagi menyambut hari lebaran itu.

Antaranya sebuah keluarga di Pantai Seberang Marang, iaitu Siti Bainun Bakri, 37, yang sehingga kini masih buntu mencari wang untuk membeli baju baharu lima orang anak berumur 8 sehingga 17 tahun.

Bagi Siti Bainun yang hanya bekerja mengambil upah mengikat pelampung dan pemberat pukat nelayan di rumah, tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan pakaian baharu buat anak anaknya tahun ini.

Katanya, dengan upah sekitar RM500 sebulan, mereka sekeluarga hanya boleh mengisi perut sahaja berbanding memikirkan untuk bergaya dengan pakaian baharu bagi menyambut hari raya.

Jika tahun lalu, Siti Bainun yang tinggal bersama ibu dan bapanya, di sebuah rumah kecil itu mampu berhari raya dengan baju baharu hasil mengumpulkan wang sedikit demi sedikit bermula sejak awal tahun.

“Namun tahun ini saya tidak mampu, saya tidak sempat untuk menabung, terpaksalah anak-anak pakai baju lama. Kadang-kadang hendak makan pun tidak cukup, bagaimana hendak beli baju raya.

"Sebagai ibu, siapa tidak teringin melihat anak-anak pakai baju baharu seperti orang lain,” katanya ditemui sempena Program Mahabbah Ramadan Empower Latihan Akademik Empower ECER Marang, hari ini.

Anak perempuan Siti Bainun, Nur Aryssa Aina Zuzilan, 12, menerima sumbangan keperluan dapur dan wang tunai pada program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Artikel Berkaitan:

Sumbangan disampaikan Timbalan Pengarah Projek Empower juga Pengurus Besar, UniSZA Consultancy Sdn Bhd, Roslie Zakarya@Derahman dan Eksekutif Pejabat Negeri Terengganu ECERDC, Mustaffa Emam Mokhter.

Hadir sama, Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang, Pengurusan Sains dan Matematik PPD Marang, Bidayutulhuda Mohd Kassim.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gading itu adalah peserta program Latihan Akademik Empower ECER Marang dipilih berdasarkan potensinya dalam akademik dan kesempitan hidup keluarganya.