Lima lelaki dicekup bersama 787kg ketum

Abdullah (dua, kanan) dan Ramly (kiri) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas.
Abdullah (dua, kanan) dan Ramly (kiri) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas.
A
A
A

PASIR MAS - Lima lelaki dicekup bersama daun ketum seberat 787 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kedondong, di sini semalam.

Serbuan jam 6.45 petang itu yang dilakukan oleh sepasukan anggota risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Kuala Terengganu membabitkan nilai RM23,610.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kelima-lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 31 hingga 43 tahun.

"Ketika serbuan dilakukan, anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu terpaksa memecahkan pintu belakang rumah berkenaan selepas kesemua suspek enggan memberikan kerjasama" katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Turut hadir, Komander PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho.

Menurutnya, sejurus selepas itu PGA Batalion 9 Kuala Terengganu berjaya menahan suspek terlibat.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 727kg.

"Anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu terus melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan Perodua Myvi yang di pakir di tepi rumah berkenaan dan membawa kepada penemuan ketum seberat 60kg lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan baharu seminggu terlibat dengan kegiatan haram tersebut.

Katanya, kesemua daun ketum itu diperoleh dari negeri di utara tanah air.

"Kesemua ketum yang dibawa masuk ini untuk pasaran sekitar Pasir Mas sebelum diseludup ke negara jiran

"Harga ketum yang dijual di negeri ini RM10 seikat manakala RM60 di negara jiran," katanya.

Abdullah berkata, kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya, semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Mei.