Bomba periksa keselamatan pusat beli belah, hotel

Norazam memeriksa laluan keluar kecemasan di Plaza Central i-City sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JPBM Negeri Selangor hari ini.
Norazam memeriksa laluan keluar kecemasan di Plaza Central i-City sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JPBM Negeri Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor akan memastikan hampir 400 premis terdiri daripada pusat beli-belah dan hotel yang menjadi tumpuan orang ramai sempena musim perayaan Aidilfitri dalam keadaan selamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata, pemeriksaan dibuat bermula pada 15 Mei 2019 lalu sehingga pada 14 Jun 2019 iaitu dua minggu sebelum Aidilfitri dan dua minggu selepas sambutan perayaan itu memastikan ia selamat untuk dikunjungi.

Menurutnya, sehingga kini 88 premis telah diperiksa dan 8 notis ketidakpatuhan telah dikeluarkan.

“Pemeriksaan antaranya melibatkan laluan keluar kecemasan. Ia dilakukan bagi mengelakkan berlakunya ketidakpatuhan kehendak-kehendak kebombaan yang telah di tetapkan, untuk menjamin keselamatan para pengunjung pasar raya tersebut.

“Kita sedia maklum bahawa, apabila tiba musim perayaan kebanyakan pasar raya akan mengadakan promosi jualan yang berlipat kali ganda dan penggunaan ruang di dalam pasar raya akan di gunakan semaksimum yang mungkin sehingga terdapat laluan-laluan di kaki lima unit kedai di dirikan gerai-gerai jualan.

Norazam memeriksa hos pemadam kebakaran di Plaza Central i-City sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JPBM Negeri Selangor hari ini.
Norazam memeriksa hos pemadam kebakaran di Plaza Central i-City sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JPBM Negeri Selangor hari ini.

“Ini secara tidak langsung boleh memberikan risiko kepada keselamatan pengunjung dan juga kepada pekerja di pasar raya tersebut sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JPBM Negeri Selangor di Central Plaza I-City, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena musim perayaan juga pihaknya turut meningkatkan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan beriadah berisiko.

Artikel Berkaitan:

Katanya sebanyak 7 lokasi yang mempunyai aktiviti air dikenal pasti berisiko di negeri ini iaitu Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Singai Tinggi; Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu; Sungai Gasi, Sungai Buloh; Empangan Semenyih; Empangan Taman Putra Perdana, Puchong; Jambatan Stesyen KTM, Sungai Buloh; dan Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor.

“Musim perayaan ramai yang cuti panjang dan beriadah. Jadi lokasi-lokasi ini antara yang menjadi tumpuan dan direkodkan seiring berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kematian jadi tumpuan pemantauan akan diberikan,”katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata beberapa jalan dikenal pasti sebagai lokasi kemalangan maut justeru pengguna kenderaan dinasihatkan agar lebih berhati-hati.

“Lokasi dikenal pasti adalah Lebuhraya Rawang iaitu sebelum susur masuk dan keluar Rawang; Jalan Persekutuan pula di Jalan Pantai iaitu kawasan Sabak Bernam ke Kuala Selangor dan juga Jalan Rawang ke Kuala Kubu Bharu,” katanya.