'Malam ni jatuh, esok letak jawatan!'

Pemain import PKNP FC, Guancarlo Lopez cuba melepasi kawalan pertahanan Perak baru-baru ini. - Foto PKNP FC
Pemain import PKNP FC, Guancarlo Lopez cuba melepasi kawalan pertahanan Perak baru-baru ini. - Foto PKNP FC
A
A
A

"MALAM ni jatuh, esok letak jawatan!”

Itu reaksi Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berhubung cabaran yang dilontarkan kepada kesebelasan pemain dalam usaha memastikan pasukan berkenaan mengekalkan slot dalam saingan Liga Super.

Zainol Fadzi berkata, dirinya serius berhubung perkara berkenaan setelah pihak pengurusan memenuhi semua permintaan pasukan selama ini.

Justeru menurutnya, kini tiba pula masa untuk kesebelasan pemain untuk memenuhi permintaan pihak pengurusan.

“Cabaran letak jawatan ini serius, bukan main-main. Kalau malam ini jatuh, esok saya letak jawatan dan ada tujuh lagi perlawanan.

“PKNP FC perlu menang beberapa perlawanan dan perbezaan mata juga tidak jauh (dengan pasukan Liga Super lain).

“Teguran ini turut ditujukan kepada kesebelasan skuad Piala Presiden dan Piala Belia PKNP FC yang bakal bersaing dengan skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Kesebelasan pasukan yang terbaik akan dipilih untuk beraksi di Sukan Malaysia (Sukma), kelak,” katanya di sini semalam.

Zainol Fadzi berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama PKNP FC di Casuarina@Meru.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, setakat ini PKNP FC berada pada kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul 12 mata, hasil tiga kemenangan, tiga seri dan tewas sembilan kali setakat ini.

Terkini, PKNP FC tewas 1-4 kepada Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras, baru-baru ini.

Sementara itu Zainol Fadzi berkata, pihaknya masih menaruh keyakinan dengan kemampuan ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim untuk membawa pasukan berkenaan keluar daripada kedudukan kedua tercorot Liga Super.

Katanya, PKNP FC dilihat mampu untuk bangkit untuk meraih mata pada baki tujuh perlawanan dan menamatkan saingan Liga Super kali ini pada kedudukan yang lebih baik.

“Coach Burn (Abu Bakar) ni dia naik dari zaman saya (selaku Presiden Pafa) dan saya tahu sumbangan yang telah diberikan. Bagi yang mengikuti perkembangan pemain, pasti melihat sebahagian besar pemain khususnya pemain skuad Liga Super Perak yang muncul juara Piala Malaysia 2018 lalu.

“Sebahagian besar pemain yang menang Piala Malaysia itu adalah dari zaman saya. Mereka pernah muncul juara Piala Belia, Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja, Piala Agong dan kini membantu Perak memenangi Piala Malaysia 2018," katanya.