Masih ramai penjawat awam ‘diburu’ ah long

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda mendedahkan masih ramai penjawat awam diburu dan dibelenggu masalah hutang dengan ah long (ceti haram).

Menurutnya, beliau juga menerima maklumat memberitahu terdapat beberapa ah long menunggu berjam-jam di bank ketika hari gaji penjawat awam, bertujuan menuntut hutang mereka.

“Kami mendapat maklum balas daripada pihak tertentu bahawa setiap kali hari gaji, ah long akan menunggu di mesin-mesin ATM. Berjam-jam mereka habiskan masa di situ tapi itu cara perniagaannya, tak boleh salahkan mereka.

“Tetapi apa yang kita cuba gambarkan adalah masih ramai lagi penjawat awam menggunakan perkhidmatan pihak ketiga seperti ini untuk tujuan perbelanjaan mereka. Selagi ini berlaku, isu-isu berkaitan prestasi akan wujud.

“Individu yang terlibat ini juga akan berdepan masalah hutang yang serius. Kenapa mereka pinjam dengan ah long? Ini kerana mereka tak boleh pinjam dengan bank. Jadi mereka dapatkan kemudahan pinjaman dari ah long dengan menyerahkan kad ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas selesai menjadi panelis pada Wacana Sinar Harian ke-111 bertajuk Mengawal Kos Sara Hidup Melalui Koperasi di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Tambah beliau, Cuepacs belum mendapat statistik rasmi berhubung aduan berkenaan namun Azih menegaskan semua pihak tidak boleh memandang ringan isu tersebut.

“Statistik memang tiada, ini maklumat yang kami baru terima tapi jumlah yang terlibat agak ramai. Jumlahnya agak membimbangkan terutamanya di bandar-bandar besar.

Artikel Berkaitan:

“Kita tak boleh pandang ringan perkara ini kerana kita bimbang akhirnya mereka terjebak dalam isu lain. Kita tak mahu ada perkara buruk berlaku kepada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azih mengingatkan penjawat awam yang terlibat dengan masalah hutang yang serius boleh dikenakan tindakan tatatertib malah boleh dibuang kerja juga.

“Kita tak mahu kerana hutang, akhirnya kerja hilang dan timbul masalah kepada keluarga secara keseluruhannya, kepada organisasi juga, dia rasuah, jual maklumat. Benda ini boleh berlaku disebabkan perkara ini.

“Kita kena tegur rakan-rakan kita yang kadangkala nafsu mereka ini, mungkin keperluannya tidak banyak tapi mereka pinjam lebih. Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat,” tegas beliau.