Pengedar dadah kena cekup ketika balik rumah

Dadah dan barangan suspek yang dirampas.
Dadah dan barangan suspek yang dirampas.
A
A
A

JELEBU - Seorang pengedar dadah dicekup polis minggu lalu ketika pulang ke rumahnya di Felda Pasoh 4 di sini, untuk mengambil bekalan makanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, Superitendan Pang Jin Lai berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan jam 11.30 malam, Khamis lepas ketika cuba melarikan diri.

"Suspek dipercayai pulang ke rumah untuk ambil bekalan makanan sebelum masuk semula ke kawasan pinggir hutan berdekatan untuk teruskan kegiatannya.

"Polis yang jalankan risikan telah berjaya menahan suspek yang cuba melarikan diri di kawasan kebun sawit belakang rumahnya," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas beg galas yang disandang suspek telah menjumpai dadah dipercayai jenis heroin anggaran berat 224.5g dan dadah jenis syabu anggaran berat 36.7g yang dianggarkan bernilai RM13,357.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis opiate dan suspek juga mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Suspek kini ditahan reman tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mensabitkan hukuman gantung sampai mati jika bersalah," katanya.

Artikel Berkaitan: