'Tiada YB Pas lompat parti'

Datuk Che Abdullah Mat Nawi
Datuk Che Abdullah Mat Nawi
A
A
A
KOTA BHARU - Pas Kelantan yakin wakil rakyat parti itu tidak akan meninggalkan parti semata-mata mahu bersama PH.

Setiausahanya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semangat perjuangan sangat menebal dalam kalangan Ahli Parlimen dan Adun Pas bahkan mereka memahami secara jelas dasar parti itu.

“InsyaALLAH Pas yakin dengan kesetiaan mereka yang ada hari ini. Yang mana tidak tabah, mereka sudah keluar (Pas). Proses penapisan sudah berlaku dahulu (sebelum PRU14), mereka sudah tinggalkan Pas.

“Yang ada ini tidak akan ke mana-mana walaupun ada usaha. Sebabnya usaha dan perjuangan Pas bukanlah bercita-cita mahu menjadi menteri, bukan kejar jawatan tetapi memperjuangkan prinsip parti,” katanya kepada media, semalam.

Beliau ditemui ketika menghadiri Penyampaian Insentif Sukan Negeri Kelantan yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Hamat.

Jumaat lalu, Umno mengesahkan enam Ahli Parlimennya mengumumkan keluar parti iaitu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, Datuk Rosul Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Mengulas lanjut berkaitan lompat parti, Che Abdullah juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, Ahli Parlimen Pas tidak mendapat tekanan sebagaimana dihadapi Umno sehingga menyebabkan perlunya memilih kapal lain.

“Alhamdulillah, Ahli Parlimen kita bersih, tidak ada tekanan seperti Ahli Parlimen Umno yang mahu menyelamatkan diri daripada tuduhan dengan lompat parti.

“Mereka yang selama ini menjadi menteri pernah membuat kesilapan kecil dan sebagainya, hari ini masuk PH untuk bersihkan diri. Anggap lebih selamat kepada dia.
Artikel Berkaitan:


“Kita kena faham juga dengan suasana politik hari ini. PH kata Malaysia Baharu tetapi tidak ada apa-apa pun. Bila masuk dalam PH dia akan jadi bersih,” katanya.

Berhubung kerjasama dengan parti lain terutamanya dengan Umno yang dianggap semakin mesra, Che Abdullah berkata, ia tidak menjadi masalah selagi tidak bertentangan terhadap dasar parti itu.

“Bagi saya mudah. Pas dalam apa-apa isu pun tidak akan berubah. Pas mengambil ketetapan menyokong sebarang isu mendokong Islam.

“Sejak dahulu pun masa isu RUU355 dan sebelum itu pun dengan DAP yang mahu melaksanakan pentadbiran seperti Umar Abdul Aziz,” katanya.