Mayat pemancing dikhuatiri hilang ditemukan

Beberapa anggota bomba mengusung mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.21 pagi di Sungai Kedah, di sini, hari ini. - FOTO IHSAN JBPM
Beberapa anggota bomba mengusung mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.21 pagi di Sungai Kedah, di sini, hari ini. - FOTO IHSAN JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - Mayat lelaki yang dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh ketika memancing ikan di Sungai Kedah berdekatan Kampung Berjaya di Taman Mahawangsa, Jalan Putra, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui kira-kira jam 10.21 pagi.

Beliau berkata, mayat itu ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah dalam lingkungan lima meter dari tempat dia terjatuh pada kedalaman kira-kira empat meter.

"Pasukan PPDA telah menemui mangsa lemas berusia lingkungan 40-an kira-kira jam 10.21 pagi, bagaimanapun tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

"Malah, masih tiada laporan dari mana-mana balai polis berkaitan ahli keluarga yang hilang selain tidak mempunyai pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa berkenaan melibatkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, dua pegawai kanan JBPM Kedah dan dua anggota polis.

Sehubungan itu, menurut beliau, maklumat mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh kira-kira jam 5.30 petang semasa memancing ikan di Sungai Kedah berdekatan Kampung Berjaya, Taman Mahawangsa, Jalan Putra, di sini, semalam.

Artikel Berkaitan: