PATI Bangladesh diberkas ketika sembunyi dalam semak

Tujuh warga Bangladesh yang ditahan PGA ketika sedang bersembunyi di kawasan semak di pesisiran pantai, Tanjung Sepat, semalam.
Tujuh warga Bangladesh yang ditahan PGA ketika sedang bersembunyi di kawasan semak di pesisiran pantai, Tanjung Sepat, semalam.
A
A
A

TANJUNG SEPAT - Cubaan sekumpulan warga Bangladesh masuk ke Malaysia secara haram dipercayai melalui jalan laut berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua lelaki Bangladesh ini ditahan ketika sedang menyorok di kawasan semak di sini, semalam.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tangkapan tujuh lelaki berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun ini susulan penahanan sebuah teksi kira-kira jam 5 pagi, yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, teksi tersebut bertindak memecut laju meninggalkan lokasi.

"Pemeriksaan lanjut kemudian dibuat di kawasan pesisiran pantai dan berjaya mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit bersembunyi di kawasan semak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati warga asing terbabit masuk ke dalam negara melalui laluan yang tidak diwartakan.

Katanya, kesemua mereka kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Artikel Berkaitan: