Kerjasama menyeluruh atasi pencemaran air Simpang Renggam

Maszlee (kiri) sewaktu melawat Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP 1, Renggam, baru-baru ini.
Maszlee (kiri) sewaktu melawat Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP 1, Renggam, baru-baru ini.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Penguatkuasaan tegas dan kerjasama menyeluruh akan dilakukan oleh Pejabat Parlimen Simpang Renggam, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu pencemaran sungai dan sumber air di Simpang Renggam.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, sebelum ini pelbagai usaha secara holistik telah dilakukan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai dan bekalan air bersih untuk rakyat di Parlimen ini dan kawasan sekitarnya.

“Semalam saya telah menghadiri Mesyuarat Berkenaan Pengurusan Sisa Pepejal Tapak Pelupusan Ladang CEP 1, Renggam yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Mesyuarat ini berjaya menyelaraskan semua tindakan strategik dengan garis masa ditetapkan melibatkan semua agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau juga amat menghargai segala usaha jangka masa pendek dan sederhana yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk rawatan dan pengawalan ‘leachate’ yang berlaku.

Pada masa sama, beliau bersama Dr Sahruddin akan berunding dengan kementerian yang berkenaan agar peruntukan khas dapat disalurkan segera untuk proses-proses penutupan selamat secara sepenuhnya dapat dijalankan dalam masa terdekat.

“Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) juga sedang berusaha bersama SAJ Ranhill untuk memasang sistem amaran awal bagi membantu rakyat membuat persediaan segera, termasuk menadah air jika tiada bekalan air.

“Manakala Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) pula akan melaksanakan proses mendidik, pemantauan bersistematik dan penguatkuasaan yang lebih ketat bagi memastikan isu-isu pencemaran seperti ini tidak berulang,” katanya.

Artikel Berkaitan: