Anwar mohon maaf program berbuka puasa seperti pesta

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung tindakan Pemuda parti itu yang mengadakan program berbuka puasa seperti sebuah pesta.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima bantahan daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa program tersebut disambut dengan lagu dan bunga api.

"Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

"Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebook selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau memberikan teguran yang keras terhadap Pemuda PKR supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak menjalankan kegiatan yang menyimpang daripada tradisi budaya Islam.

"Ketua Pemuda PKR menjelaskan program ini diselenggarakan oleh timbalan beliau dan saya minta Pemuda PKR supaya memperbaiki kelemahan ini," katanya.