300 warga Pakistan akan mula dihantar pulang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lebih daripada 300 warga Pakistan yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara akan dihantar pulang ke negara mereka bermula 29 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penghantaran itu dilakukan dalam program penghantaran pulang warga Pakistan yang telah menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan dengan kerjasama JIM dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

“Kesemua warga Pakistan ini akan dihantar pulang melalui penerbangan yang di sewa khas oleh kerajaan Pakistan dari Malaysia ke Pakistan.

“Program ini merupakan inisiatif Kerajaan Pakistan sendiri yang mahu mempercepatkan proses penghantaran pulang warga mereka khususnya tahanan-tahanan yang tidak mampu membeli tiket sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Pakistan akan menanggung semua kos penerbangan tersebut.

“Manakala, bahagian Depot dan Tahanan Imigresen akan menyelia semua proses penghantaran pulang dan pergerakan semua tahanan dari depot ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Justeru Khairul berkata, JIM dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan akan sentiasa bekerjasama dan menambah baik kelancaran urusan yang melibatkan warga kedua-dua negara yang berkaitan hal ehwal Imigresen.

Artikel Berkaitan: