Jeti persendirian rancakan ekonomi Kelantan

Husam pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf Rantau Panjang di LLY Loyalty Logistics Sdn Bhd, Rantau Panjang.
A
A

RANTAU PANJANG - Kewujudan jeti persendirian dan gudang awam yang dikendalikan oleh syarikat LL Loyalty Logistics Sdn. Bhd mampu merancakkan lagi perdagangan laut di negeri ini pada masa depan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa berkata, kedua-dua kemudahan itu akan memainkan peranan sebagai tempat mendaratkan dan menyimpan barangan sekaligus memudahkan pengimport-pengimport barangan yang belum lulus Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDRM) menjalankan urusan.

"Barang import yang didaratkan di jeti Pulau Ular (Tumpat) dan belum lulus JKDRM terlebih dahulu akan disimpan di sini. Sebaik sahaja diluluskan oleh JKDRM (melalui kios bersebelahan gudang awam), barang tersebut boleh dibawa keluar terus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf Rantau Panjang di LLY Loyalty Logistics Sdn Bhd, Rantau Panjang.

Menurutnya, secara tidak langsung ia boleh membuka lembaran baharu dalam bidang perdagangan laut di negeri ini dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Katanya, selain itu ia turut memudahkan pengimport yang belum mempunyai kelulusan JKDRM untuk berurusan.

“Dengan cara ini kemajuan negeri Kelantan dapat ditingkatkan dan kita juga boleh eksport barangan dari Malaysia keluar. Secara tidak langsung ia mampu menjimatkan kos dan masa. Dengan cara ini barang-barang akan menjadi lebih murah dan eksport juga akan meningkat,” katanya.

Husam berkata, ini merupakan perkara baharu kerana ia merupakan jeti persendirian dan gudang awam pertama di Kelantan.

Katanya, kemudahan itu sememangnya sudah lama wujud di negeri-negeri lain sebelum ini.

“Kalau di Terengganu jeti persendirian ini telah wujud di Pulau Duyung,” katanya.

Gudang awam yang dibina oleh syarikat swasta itu pada tahun 2016 dan dijangka akan memulakan operasi pada Jun depan.