Lembu pun nak balik raya

Sedutan dari video tular menunjukkan dua ekor lembu itu berlari di lorong kanan di lebuhraya Rawang menghala Kuala Lumpur.
A
A

RAWANG - Dua ekor lembu sesat masuk ke laluan lebuhraya Rawang menghala Kuala Lumpur mencuit hati netizen yang mengaitkannya mahu pulang kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri sempena cuti persekolahan bermula semalam.

Video berdurasi 33 saat itu tular di media sosial Facebook hari ini memaparkan lembu berkenaan berlari di lorong kanan mengikut arah kenderaan bergerak.

Kejadian berlaku semalam itu dirakamkan oleh seorang pemandu lori sebelum dikongsi pemilik akaun Facebook Adinda Qilla, satu jam lalu.

Lelaki yang merakam insiden itu dalam nada berseloroh bertanyakan jika ada yang mahu membeli lembu tersebut.

"Sudah mahu raya, cuti sekolah (jadi) lembu lari atas lebuh raya takut kena sembelih. Siapa mahu beli ada dua ekor lembu. Lembu punya pasal, jalan jadi sesak," antara rakaman suara yang didengari dalam video tersebut.

Perkongsian itu turut menarik perhatian netizen yang turut memberikan reaksi dengan nada gurauan.

"Adui, (kalau) tahu dia (lembu) nak balik kampung boleh tumpang, tak payah isi minyak, tol pun percuma," komen Mohd Hamdi.

Ia turut mengundang kemarahan awam susulan kebimbangan kecuaian pemilik lembu berkenaan membahayakan pengguna lebuh raya berkenaan.

"Akibat kebodohan tuan lembu menyusahkan orang lain," tulis EJ Ezwan.

Lembu sesat itu turut menyebabkan kesesakan di laluan itu sejauh beberapa kilometer.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas pihak lebuh raya berhubung kejadian tersebut.