Kementerian Pendidikan teliti cadangan Howard Lee

Howard (kanan) mengadakan perjumpaan dengan Maszlee bagi membincangkan isu matrikulasi dan sistem pendidikan baru-baru ini.
Howard (kanan) mengadakan perjumpaan dengan Maszlee bagi membincangkan isu matrikulasi dan sistem pendidikan baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan meneliti cadangan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee berkenaan isu matrikulasi dan pendidikan tinggi negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, Howard telah berjumpa dengannya beberapa minggu lalu dan mengemukakan lima cadangan bagi membantu Kementerian Pendidikan.

Katanya, ada cadangan tersebut sedang diusahakan pelaksanaannya iaitu memohon Kementerian Pendidikan menyelesaikan ketidaksamarataan dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi, menyelidik dan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum serta mewujudkan sebuah silibus dan sistem pengredan di antara Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi menjelang 2020.

Manakala, cadangan yang sedang diperhalusi ialah penyerapan tempat sebanyak 15,000 di asasi-asasi institut pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada sebagai sebahagian daripada program matrikulasi dan kemasukan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum.

Menurut Maszlee, beliau terbuka untuk sebarang cadangan yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dan sistem pendidikan di Malaysia secara menyeluruh.

"Pandangan dengan idea konkrit dan bernas sudah tentu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan bermanfaat untuk rakyat di negara ini.

"Usaha serta pemikiran rasional seperti Howard akan membantu Kementerian Pendidikan memberikan yang terbaik buat semua anak-anak Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: